NOTA : Catatan perjalanan di dalam DIARI-JWJ2 ini sedang di update dari masa ke semasa. Segala maklumat dan Foto amat dihargai, sila hantarkan ke email: ponpakya@gmail.com. Terima kasih atas sokongan dan kerjasama rakan2 JWJ2 sekelian.

Tuesday, June 21, 2011

Laos

SAVANNAKHET

Konvoi pertama meneruskan perjalanan ke Savannakhet kira2 250 km dari sempadan. Satu pengalaman baru memasuki Laos ini telah melalui kawasan pendalaman sahaja menyusuri perkampungan orang2 asli. Perjalanan konvoi terasa sungguh cepat walaupun jauh kerana konvoi telah diiringi oleh kenderaan ejen dan seorang pegawai polis Laos. Maka konvoi sentiasa diberi laluan ketika berselisihan dengan kenderaan awam.

Akhirnya konvoi pertama tiba di Savannakhet pada jam 10.30 malam dan konvoi kedua tiba pula pada jam 12.30 pagi. Ini bermakna rakan yang tertinggal pasport itu telah melepasi sempadan dan kesemua anggota berasa cukup bersyukor. Konvoi boleh meneruskan ekspedisi dengan keanggotaan yang penuh.

07 hb Jun 2011, Selasa - Sejak awal perancangan lagi, Savannakhet hanyalah tempat persinggahan konvoi apabila tiba di Laos sebelum ke Vientaine. Jarak ke Vietaine, ibu kota Laos ini pula adalah 470 km dari Savannakhet.

Sepanjang perjalanan ini tidak terdapat langsung kampung Melayu apatah lagi masjid untuk dilawati. Jadi seperti biasa konvoi terpaksa berhenti di tempat yang sesuai, di tepi-tepi jalan mengambil kesempatan untuk bersolah.

Konvoi kerap kali berhenti untuk solah di tepi-tepi jalan sekiranya tiada masjid

Konvoi terpaksa berhenti di Savannakhet untuk bermalam dan pada waktu pagi 7hb kesemua kenderaan harus menukar minyak hitam kerana perjalanan telah pun merentas melebihi 4000 km. Pengurusan hotel telah memberi keizinan agar konvoi menjalankan aktiviti servis kenderaan di parking hotel. Kesemua pemilik 10 kenderaan konvoi mengambil kesempatan pula membasuh kenderaan di hadapan hotel, satu pengalaman yang cukup menyeronokkan.

Konvoi kemudian meneruskan perjalanan ke Vientaine.

VIENTAINE

Sejak berada di Hoi An, Vietnam lagi, pihak konvoi telah dihubungi oleh pihak kedutaan Malaysia di Vientaine menjemput konvoi JWJ2 untuk hadir ke kedutaan Malaysia. Majlis bersama rakyat Malaysia yang berada di sana telah di atur oleh Datuk Duta kita melalui pengawainya, En Shamsul pada selasa malam jam 8.30 malam waktu Laos.

Rombongan konvoi telah berusaha sungguh ke Vientaine agar dapat tiba tepat pada masanya walaupun jarak perjalanan kira2 470 km. Konvoi di Laos ini cukup bernasib baik kerana jalanraya di Laos agak baik walaupun sempit. Tambahan pula kenderaan tidaklah bergitu banyak berbanding di Vietnam dan Cambodia.

Konvoi tiba di bandar Vientaine pada jam 7.30 malam dan sempat bertukar pakaian korporat JWJ2 dan pakaian persembahan di sebuah stesyen minyak sebelum menuju ke kedutaan.

Setibanya di kedutaan, kehadiran konvoi disambut mesra oleh rakyat Malaysia seramai lebih 50 orang yang tinggal di Laos. Anggota konvoi sempat beramah mesra selepas ucapan Duta Besar Malaysia ke Laos, Datuk Than Tai Hing, semasa makan malam sambil melihat persembahan kebudayaan dari konvoi JWJ2.

Lagi sekali makanan yang dihidangkan di kedutaan Malaysia cukup menyelerakan. Ada roti canai, teh tarik malah makan nasi dengan berlauk sambal petai yang dibawa khusus untuk majlis malam ini.

Konvoi kemudian menuju ke tempat penginapan dengan diiringi pegawai dari kedutaan.

08 hb Jun 2011, Rabu - Pegawai kedutaan, En Shamsul telah tiba jam 8.00 pagi di tempat kami menginap. Tujuan untuk membawa kami makan pagi di restoran Islam di bandar Vientaine dan kemudian melawat ke dua buah masjid yang berada di bandar ini. Sebuah masjid milik jemaah Melayu Champa dan sebuah lagi milik jemaah India Muslim. Sambil beramah mesra dan menjalankan program pengajian jawi dan bacaan al-Quran, pihak konvoi bergambar bersama dan menyampaikan cenderahati JWJ2 kepada imam2 mesjid.

Seterusnya konvoi meneruskan perjalanan setelah makan tengahari di restoran Islam bersebelahan sungai Mekong yang menjadi sempadan Vientaine dan Nong Khai, Thailand.

Destinasi selepas ini adalah ke Luang Prabang.

LUANG PRABANG

Perjalanan kami kali ini cukup mencabar tetapi sungguh menyeronokkan. Laluan ke Luang Prabang sekali lagi melalui kawasan perkampungan orang asli Laos mendaki pergunungan yang cukup indah pemandangannya, laluan sejauh 320 km sehingga menjangkau ke puncak ketinggian melebihi 1000 meter dari paras laut.

Inilah kali pertama anggota konvoi merasai suasana nyaman dengan udara sejuk sejak merentasi 7 negara. Bahang kepanasan cuaca sejak memasuki Cambodia mula terasa hilang apabila kami menjejak di liku2 jalan gunung menuju ke Luang Prabang. Setelah hampir 10 jam dalam perjalanan dan berhenti beberapa kali untuk menukar pemandu dan mencuri kesempatan mengambil gambar permandangan indah dan gambar2 candit wajah2 orang tempatan, kami tiba di Laung Prabang lewat malam.

Seperti biasa, kami selalunya makan malam terlebih dahulu sebelum ke tempat penginapan. Di Laos ini amat sukar untuk konvoi mendapatkan makanan muslim selain di Vientaine. Maka kami memutuskan untuk makan di restoran yang menyediakan masakan bersayur atau masakan laut sahaja. Kadang2 terdengar rungutan ahli2 konvoi yang mengadu kejemuan mereka kerana asyik berlauk sayur dan sup ikan setiap kali makan di Laos ini. Terasa juga mereka nak perkena sambal belacan...... namun tak kesampaian.

Apapun anggota konvoi kerap makan nasi berlauk ikan kering dan kicap apabila terpaksa masak sendiri ketika terasa terlalu lapar di sepanjang perjalanan ekspedisi JWJ2 ini apabila tidak menemukan kedai makan yang sesuai.

Sejak awal lagi anggota konvoi telah dipesan untuk membawa sedikit bekalan makanan berserta dapur bagi setiap kenderaan dalam ekspedisi ini. Jelas, persiapan awal seperti ini menyelamatkan anggota konvoi dari kelaparan.

09 hb Jun 2011, Khamis - Tidur malam di Luang Prabang memang nyenyak beselimutkan dengan udara nyaman lagi sejuk dan anggota konvoi semuanya nampak segar di waktu pagi bagai giarah untuk melihat keindahan bandar Luang Prabang yang mempunyai percantuman bangunan lama pengaruh Perancis dan bangunan baru yang terletak di tebing sungai Mekong.

Pemandangan di tebing sungai Mekong di Luang Prabang

Luang Prabang turut diistiharkan sebagai kota warisan bersejarah oleh Unesco kerana disinilah asal bandar kerajaan diRaja Laos sebelum kejatuhan sistem beraja dan setelah itu berpindah ibu kotanya ke Vientaine.

Beberapa anggota konvoi sempat melawat muzium Luang Prabang, bekas istana diRaja yang menempatkan koleksi raja-raja Laos sebelum ini. Malangnya pihak konvoi tidak dibenarkan mengambil foto di muzium ini, maka koleksi alat muzik diRaja Laos iaitu peralatan gamelan tidak dapat dibuktikan dalam bentuk foto sebagai persamaan alat muzik dengan warisan Melayu.

Selepas tengahari konvoi menuju seterusnya ke Botene, sempadan Laos dengan China.

BOTENE

Konvoi tiba di Botene kira2 jam 11.00 malam setelah lebih 10 jam perjalanan sejuah lebih 300 km. Lagi sekali terpaksa melalui jalan berliku dan memanjat banjaran gunung dan kali ini terdapat keadaan jalan yang agak teruk kerana tidak berturap. Apa pun konvoi tiba dengan selamat walaupun kenderaan BAT10 mengalami masalah brek, setelah diperbaiki oleh sdr Mizi selaku mekanik JWJ2.

Kali ini, setibanya di hotel yang terletak di bandar kecil sejauh 6 km dari sempadan China, konvoi terpaksa masak sendiri di kawasan letak kenderaan hotel sebelum memasuki bilik penginapan. Hanya berlauk telur goreng dan sardin, anggota konvoi mengisi perut sebelum masuk tidur awal kerana harus berada di pintu sempadan sebelum jam 8.00 pagi. Perkara ini harus dipatuhi kerana syarat memasuki China terlalu ketat dan pemandu kenderaan harus mengikuti pula kursus pemanduan di China untuk mendapatkan lesen memandu sementara di sempadan nanti.

10 hb Jun 2011, Jumaat - Pagi2 lagi pada jam 7.30 seluruh anggota konvoi telah meninggalkan bandar Botene yang mempunyai pengaruh China. Pada jam 8.15 pagi konvoi sudah pun mula melepasi sempadan Loas dan menanti giliran untuk melepasi pula sempadan Mohan, China.

Lagi sekali, satu pengalaman baru bakal ditempuhi oleh anggota konvoi di negara China setelah menjelajah hampir 7000 km.

[kisah menarik tersiar di Utusan Malaysia : Misi jejak susur galur Melayu, Islam di Laos bermula]

[ponpakya melapur]

No comments:

Post a Comment